Thursday, September 2, 2010

SURAT TERBUKA UNTUK AHLI AKAR UMBI PARTI PAS

ASSALAMMUALAIKUM WBT…
Buat semua rakan-rakan dalam PAS..

Saya yakin dan percaya ahli akar umbi PAS kebanyakannya memang ikhlas bersama PAS kerana percaya kepada perjuangan PAS mahu menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hudud, qisas & ta’zir.

Mereka sanggup berderma jihad, bersengkang mata mengahdiri ceramah tiap malam, menumpahkan keringat & meninggalkan anak isteri untuk bersama menampal poster pilihanraya. Ada isteri yang meninggalkan suami dan anak-anak dirumah demi perjuangan ikhlas ini.

Malahan ada yang sudah terkorban syahid kerana mempertahankan dan memperjuangkan penubuhan negara Islam dan perlaksanaan undang-undang jenayah Islam yang menajdi cita-cita PAS.Semasa membuat kes Al Ma’unah, saya membaca tuntutan yang di kemukakan oleh mereka semasa dikepung oleh pasukan keselamatan.
Mereka menuntut penubuhan negara Islam dan perlaksanaan undang-undang Islam. Dan 100% mereka adalah ahli PAS, khususnya dari Unit ‘Amal PAS. Dan kini 4 daripada mereka sudah membayar harga perjuangan mereka ditali gantung, 19 lagi sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Semua itu kerana keyakinan dan kepercayaan mereka kepada perjuangan ikhlas PAS untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam. Dan saya yakin para ulama dan ahli akar umbi PAS masih berpegang kepada cita-cita dan perjuangan murni itu.

Namun saya percaya ramai ahli akar umbi PAS sebenarnya tidak tahu bahawa persekongkolan PAS dengan DAP-PKR didalam Pakatan Rakyat bermakna perjuangan untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam dan menolak Perlembagaan sekular telah diketepikan. Ia tidak termasuk didalam dasar Pakatan Rakyat jika memerintah. Ia hanyalah mimpi PAS kata pemimpin PR!

Kalau tidak percaya, cuba tanya golongan Anwarinas didalam PAS. Atau cuba tanya Anwar Ibrahim sendiri. Ya saya tahu mereka akan jawab ini agenda UMNO dan BN untuk memecah belahkan Pakatan. Ini cubaan jahat mereka kerana takut hilang kuasa. …

Mereka akan kata ini usaha jahat UMNO meniupkan sentimen agama dan perkauman. Mereka akan kata ini cubaan UMNO untuk menutup isu lain, isu rasuah, isu itu dan isu ini. Dan saya tidak hairan jika mereka akan membuat kelentong biasa; nanti kita memerintah kita tahu lah nak buat apa. Ini lagu basi yang selalu dibohongkan kepada kita.

Sedarlah sahabat dan rakan didalam PAS. Isu ini tidak ada kena mengena dengan orang lain; samada UMNO, BN, atau lain-lain pihak. Ini adalah perjanjian yang dipersetujui diantara PAS-DAP-PKR.

Perjanjian itu dideraf dan ditaip oleh Pakatan sendiri. Takkanlah UMNO atau BN yang membuat perjanjian untuk dipersetujui noleh PAS-DAP-PKR. Kecualilah kalau ada orang yang begitu bodoh mahu mempercayai pembohongan ini!

Perjanjian untuk tidak menubuhkan negara Islam, tidak melaksanakan hudud, qisas & ta’zir dan menerima Perlembagaan sekular jika Pakatan Rakyat memerintah adalah persetujuan bersama diantara PAS-DAP-PKR.

Ini disahkan sendiri oleh Anwar Ibrahim, Dr. Dzulkfly Ahmad, Karpal Singh, Lim Kit Siang, Zaid Ibrahim dan lain-lain pemimpin Pakatan didalam kenyataan-kenyataan mereka baru-baru ini. Jangalah kita termakan racun pembohongan yang menuduh orang lain. Jika tidak percaya, tanya sendiri dengan mereka.

Saya berasa terpanggil untuk membuat pendedahan ini kerana saya masih punya ramai sahabat dan rakan didalam PAS yang masih yakin dan percaya bahawa jika menang dalam pilihanraya akan datang, negara Islam akan ditubuhkan dan undang-undang Islam akan dilaksanakan.

Mereka tidak tahu bahawa mereka sudah diperdaya dan dibohongi, dan yang saya paling khuatir; bila berhadapan dengan ALLAH di akhirat nanti, baru mereka terkejut bahawa sebenarnya penubuhan negara Islam dan perlaksanaan undang-undang Islam bukan dasar Pakatan Rakyat. Bahawa Pakatan Rakyat tidak akan menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam jika memerintah. Itu adalah dasar yang sudah dipersetujui bersama. Bahawa Perlembagaan Persekutuan saperti yang sedia ada akan terus dipertahankan dan di amalkan!

Sedangkan berpuluh tahun ahli PAS menentang UMNO, malah sehingga mengkafirkan UMNO, kerana didakwa tidak mahu menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hudud, qisas & ta’zir. Sehingga muncul Amanat Hj Hadi, yang jelas menyatakan penentangan terhadap UMNO bukan kerana namanya, tetapi kerana Perlembagaan sekular yang didakwa dipertahankan UMNO, kerana kononnya keengganan UMNO melaksanakan hudud, qisas & ta’zir; kononnya kerana UMNO didakwa tidak mahu menubuhkan negara Islam!

Tetapi sekarang, Perjanjian Bersama Dasar Pakatan Rakyat jelas membuktikan melalui dokumen bahawa penubuhan negara Islam dan perlaksanaan undang-undang Islam bukan dasar kerajaan Pakatan Rakyat jika memerintah. Perjanjian bersama itu juga j…elas memperuntukkan Perlembagaan sekular yang ditentang sangat oleh PAS itu akan terus dipertahankan dan diamalkan.

Jadi persoalannya, apa beza pendirian PAS dengan UMNO yang ditentang sejak dulu, kini dan selamanya itu? Dan persoalan lanjut yang perlu kita tanya, mengapa bersekongkol dengan DAP/ PKR untuk tidak menubuhkan negara Islam dan tidak melaksanakan undang-undang Islam halal pada PAS; tetapi duduk berbincang dengan UMNO dalam isu Islam dan umat Islam menjadi haram?

Sebab itu sebelum nasi menjadi bubur, sebelum menangis air mata darah pun tidak memberi apa-apa makna, saya sekali lagi, atas nama ALLAH dan lafaz bismillah, menyeru saudara dan sahabat didalam PAS, kembalilah kepada perjuangan asal; iaitu menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam. Dan landaskan perjungan itu dengan niat ikhlas kerana ALLAH semata-mata.

Saya menyeru ahli akar umbi PAS supaya mufaraqah lah daripada persekongkolan sia-sia dengan DAP/PKR ini. Mereka tidak ada cita-cita lain selain daripada ingin menawan Putrajaya dan menjadi kerajaan demi memenuhi nafsu untuk menjadi Perdana Menteri sahaja.

Jangan kita terpedaya dengan mainan politik murahan dan jijik ini. Islam itu mulia, dan Islam yang memuliakan kita. Islam itu tinggi, tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam. Jangan kita letak diri kita ke lembah yang hina jauh daripada Islam. Janganlah kita bersekongkol dengan kafir harbi untuk memenuhi nafsu mereka sehingga kita sendiri jatuh tersungkur dipintu neraka!

Memang kalau mengikut ukuruan duniawi, perjuangan bersendirian tanpa bersekongkol dengan DAP/PKR ini kelihatan saperti mustahil bagi PAS. Tetapi percayalah dengan kuasa ALLAH. Lihatlah sirah Nabawi, jumlah yang sedikit akan sentiasa dimenangkan oleh ALLAH, selagi kita menepati ciri dan sifat untuk menerima nasrullah, bantuan ALLAH.

Sempena menyambut kemerdekaan negara ke 53 ini, marilah kita berjuang memerdekakan negara ini daripada segala amalan syirik, kufur dan sekular. Marilah kita perjuangkan penubuhan negara Islam, perlaksanaan undang-undang Islam. Marilah kita merdekakan negara kita daripada Perlembagaan sekular kepada Perlembagaan yang diterima dan diredhoi ALLAH! Itulah kemerdekaan sebenarnya bagi Islam dan umat Islam!

Dari ALLAH kita datang, kepada ALLAH kita kembali. Yang baik itu semuanya daripada ALLAH, yang tidak itu daripada kelemahan saya sendiri.
Selamat beri’tikaf di sepuluh akhir Ramadhan ini.
Wassalam.

Adios amigos, grasias senor & senorita.
Zulkifli Bin Noordin
Isnin
20 Ramadhan 1431

No comments:

Post a Comment