Tuesday, September 18, 2012

Saya puji bagaimana pelakon Noorkumalasari membawa diri



DALAM tahun ini ramai artis yang berubah. Yang dulu nakal, sekarang menjadi lebih baik. Yang dulu tak pernah nak insaf-insaf, sekarang dan insaf. Dulu nampak rambut beropol-ropol, sekarang sudah bertudung litup.

Apabila seseorang itu memilih jalan untuk menuju kepada arah yang lebih baik dalam dirinya, ia adalah satu rahmat yang tidak ternilai.

Malah dalam Al-Quran juga menuntut seseorang itu agar berubah kepada kebaikan apatah lagi ketika menginjak usia 40 tahun.

Hal itu turut disebut dalam surah Al-Ahqaf, ayat 15 yang berbunyi: "Sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjuklah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redai, berilah kebaikan kepada ku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.”

Jika seseorang itu mendapat hidayah lebih awal, dia seharusnya bersyukur terhadap anugerah itu.

Tapi sayang sekali, terdapat segelintir artis yang berubah hanya kepada imej dan corak pemakaian sahaja.

Saya tidak mahu menuduh sesiapa tetapi kepada yang berkenaan itu, ambillah nasihat ini dengan cara yang baik.

Setiap manusia diuji Tuhan dengan macam-macam ujian dalam hidup. Apabila kita ingin menjadi seorang yang baik, ujian lebih banyak akan datang kepada kita termasuklah dalam rumah tangga dan juga persahabatan.

Tetapi saya agak kesal apabila ada artis yang baru sahaja memakai tudung, berserban, mulalah dia melihat ada saja yang tak kena kepada orang lain dan bukannya mahu melihat kepada kesilapan dirinya sendiri.

Lebih malang sekali ada yang sanggup memperjudikan nasib di pentas politik tanpa mengetahui mereka sebenarnya telah digunakan untuk kepentingan pihak lain bagi meraih sokongan.


Jika seseorang yang ikhlas itu mahu berubah, berubah sahajalah. Penuhilah diri dengan ilmu agama terlebih dahulu dan bukannya mengambil jalan untuk memburukkan antara satu sama lain.

Saya puji bagaimana pelakon Noorkumalasari membawa diri. Apabila membuat keputusan untuk memakai tudung litup, beliau meninggalkan terus dunia seni.


Beliau berjuang untuk memperbanyakkan amalan dalam diri yang kosong selama ini serta berjaya membina keluarga mengikut jalan yang betul.

Beliau juga berusaha menjaga hubungannya bersama insan di sekeliling dengan baik.

Inilah perubahan yang harus dicontohi oleh artis-artis yang membuat keputusan untuk berubah dan bukannya berubah pada nama tetapi mulut pula tak habis-habis mencerca.


Sumber : Mediawangsamaju

No comments:

Post a Comment