Friday, November 5, 2010

Galas beri isyarat Umno akan rampas Kelantan

GALAS: Barangkali terlalu awal untuk mengatakan rakyat Kelantan kembali menyokong BN khususnya Umno ekoran kemenangan dalam pilihanraya kecil Galas hari ini. Bagaimanapun, ia memberi isyarat bahawa BN sedia merampas Kelantan yang diperintah PAS sejak 20 tahun lalu.

Jika keputusan Galas dijadikan ukuran, PAS menghadapi laluan sukar untuk mengekalkan kuasa di negeri pantai timur itu. Calon BN Abdul Aziz Yusof menang dengan majoriti menyakinkan iaitu 1,190 undi. Beliau mendapat 5,324 undi manakala calon PAS, Dr Zulkifli Mohammad mendapat 4,134 undi.

Daripada 13 peti undi, PAS hanya menang satu di Sungai Terah dengan majoriti 285 undi. Agak mengejutkan BN mendapat undi majoriti pengundi kaum Cina yang pada pilihanraya umum lalu menyokong PAS. Mengapa PAS kalah kali ini sedangkan pada 2008 calon mereka, Che Hashim Sulaima menang dengan majoriti 646 undi. Che Hashim meninggal dunia 29 September lalu akibat kanser.

Tengku Razaleigh Hamzah nyata masih berpengaruh di kalangan pengundi Gua Musang. Tiada siapa pengundi Galas yang tidak mengenalinya. Peribadi anak raja itu menjadi ikon di Gua Musang. Pengaruh Tengku Razaleigh atau Ku Li di kalangan penduduk tempatan masih mencengkam kemas di Galas. Beliau akan menjadi aset BN dalam pilihanraya umum akan datang.

Serangan bersepadu jentera kempen BN terhadap kerajaan negeri pimpinan PAS berjaya menyakinkan pengundi secara keseluruhan. Terlalu banyak penyelewengan kerajaan PAS didedahkan oleh BN termasuk isu ladang rakyat.

Satu lagi faktor kemenangan BN ialah demam bola sepak Kelantan yang menjalar hingga ke Galas. Gelombang merah ekoran kemenangan Piala Malaysia sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi memberi sokongan kepada BN.

Ini kerana Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa yang membawa kemenangan bola sepak Kelantan dalam piala paling prestij itu merupakan orang kuat Umno Kelantan. Beliau merupakan ketua Umno bahagian Peringat. Keputusan petugas BN dan Umno memakai baju T merah sebagaimana idea bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh telah menyemarakkan lagi semangat petugas BN.

Kesimpulannya, kemengan BN di Galas ini adalah hasil kerja keras parti itu yang mahu menyelamatkan rakyat Kelantan dari terus ketinggalan. Bagaimanapun, adalah silap untuk mengatakan keputusan Galas itu merupakan satu jaminan kepada BN merampas Kelantan dalam pilihanraya umum akan datang.

Cuma ia memberi sedikit kelegaan kepada Umno negeri itu yang diketahui kaya dengan pemimpin berwibawa tetapi sering bermasalah. Tengku Razaleigh akan menjadi penyelesai kepada BN Kelantan kali ini.

Bukan itu saja, ia adalah isyarat bahawa PR keseluruhannya sudah parah. Adakanlah pilihanraya kecil dimana-mana selepas ini, peluang PR untuk tewas terlalu besar. Kepimpinan PR kini yang dipersoalkan.
Sudut pemerhatian penulis, jika pilihanraya kecil itu bukan di Kelantan, besar kemungkinan PR kalah LEBIH DASYAT lagi.

No comments:

Post a Comment