Fathul Bari Mat Jahaya


Fathul Bari Mat Jahaya
SHAH ALAM - Surat rasmi yang dihantar Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi membincangkan isu hudud adalah sebagai tanda menghormatinya sebagai seorang daripada ulama dan ilmuwan tersohor di negara ini.


Beliau juga berharap dapat segera mengetahui jadual waktu dan kelapangan Nik Aziz, bagi membolehkannya berjumpa dan berbincang mengenai hudud dengan Menteri Besar Kelantan itu.



"Saya menghantar surat hanya mengikut prosedur yang dilakukan oleh orang biasa kepada pembesar sebagai tanda menghormati dan bukan menerjah secara semberono untuk menemui Tok Guru (Nik Aziz) tanpa mengambil kira waktu kelapangannya.



"Dengan menghantar surat seperti yang dilakukan orang biasa untuk menemui pemimpinnya, saya hanya mengikut prosedur tambahan pula prosedur ini telah digunakan pada zaman nabi dahulu di mana untuk bermuzakarah dengan pembesar-pembesar perlu menghantar surat rasmi terlebih dahulu," katanya kepada Sinar Harian, semalam.



Semalam, Nik Aziz mengeluarkan kenyataan tidak perlu menggunakan surat rasmi bagi mengajak beliau berbincang isu hudud.



Nik Aziz berkata, sewajarnya Fathul Bari bersemuka dengannya secara terus sekiranya ikhlas untuk membincangkan isu hudud secara terperinci dan bukannya membuat kecoh dalam media arus perdana.



Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Ilmu telah menghantar surat rasmi untuk bertemu Nik Aziz bagi tujuan membincangkan isu hudud secara serius dan profesional, bukannya bertikam lidah.



Dalam laporan itu, Fathul Bari berkata, pihaknya belum mendapat sebarang maklum balas daripada Nik Aziz.