Thursday, December 2, 2010

Wan Azizah Sepatutnya Pertahan 7 Perkara Hak Asasi Melayu

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail perlu berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan politik berhubung ketuanan Melayu kerana ia boleh mencetuskan suasana tidak harmoni.

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, Dr. Wan Azizah perlu menghayati erti perjuangan kerana sebagai pemimpin politik ada satu tanggungjawab yang terpikul di bahunya.

”Dia perlu mengambil kira hak-hak asasi setiap warganegara yang terdiri daripada berbilang kaum kerana Perlembagaan Persekutuan ada memperuntukkan hak- hak tertentu bagi menjamin dan meneruskan hak- hak yang sudah diberikan dan dimaktubkan dalam perlembagaan untuk orang Melayu.

”Wan Azizah sepatutnya terus pertahankan tujuh perkara penting yang menyentuh tentang hak-hak asasi orang Melayu,” katany.

Beliau mengulas kenyataan isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu yang menolak konsep ketuanan Melayu yang menurutnya wajib ditinggalkan supaya generasi muda membesar dengan visi ‘Bangsa Bermaruah’ atau ‘Melayu Bermaruah’.

Dakwanya, ketuanan Melayu adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu.
Kamilia turut mempersoalkan maksud di sebalik kenyataan Dr. Wan Azizah itu sama ada beliau cuba mempersoalkan hak asasi Melayu atau mahu mencadangkan agar hak-hak itu dihapuskan.

”Saya tidak tahu apa maksud beliau, andainya tidak wujud lagi ketuanan Melayu adakah PKR akan berusaha meminda Perlembagaan hapuskan semua hak asasi orang Melayu termasuk tujuh perkara yang termaktub dalam Perlembagaan.

”Kita sudah berlaku adil pada semua warga negara kerana bukan Melayu turut diberi hak menikmati kesenangan di negara ini,” katanya.

Sebagai contoh, ujar beliau, di Ireland, bangsa terasnya ialah Irish tetapi orang Pakistan dan India di negara itu tetap memegang status sebagai warganegara.

Di Malaysia pula, bangsa terasnya ialah Melayu tetapi ini tidak bermakna bangsa lain tidak diiktiraf.
Jelas beliau, antara perkara teras yang terkandung dalam Perlembagaan ialah Perkara 3 iaitu Islam sebagai agama rasmi; Perkara 32 ketua agama ialah Yang di-Pertuan Agong; Perkara 38 peranan Majlis Raja-Raja Melayu.

Selain itu ialah Perkara 89 iaitu tanah simpanan Melayu melindungi tanah-tanah kepunyaan orang Melayu; Perkara 152 bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; perkara 153 perizaban kouta berkenaan perkhidmatan, permit bagi orang Melayu dan Perkara 159 pindaan perlembagaan yang memerlukan kelulusan Majlis Raja-Raja.

No comments:

Post a Comment