Friday, October 15, 2010

Panggilan “Pariah”, Pengiktirafan Besar PKR Kepada Kaum India

KUALA LUMPUR, 15 Okt –  Panggilan “Pariah” yang dilemparkan calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali terhadap seorang pemimpin tertinggi PKR berketurunan India disifat sebagai satu pengiktirafan terbesar parti itu terhadap sokongan kaum India kepada parti itu selama ini.

Dengan nada sinis, Ketua Penerangan MIC, YB P.Kamalanathan berkata inilah wajah sebenar PKR yang selama ini hanya berpura-pura membela kaum India sedangkan hakikatnya PKR hanya mahu mengejar undi untuk berkuasa semata-mata.

“Panggilan ini adalah satu penghinaan walaupun ia ditujukan kepada seorang pemimpin India (N. Gobalakrishnan) tapi perlu kita ingat di belakang beliau mungkin ada beribu atau beratus penyokongnya yang berbangsa India.

“Apa yang dilakukan Azmin ini adalah cerminan sikap sebenar PKR di sebalik laungan kononnya untuk membela rakyat seluruh kaum.  Apakah rakyat mahu memperjudikan nasib di atas tangan mereka ini”, katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online sebagai mengulas pendedahan Ahli Parlimen PKR Padang Serai yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, N. Gobalakrishnan yang mendakwa pernah dipanggil “Pariah” oleh Naib Presiden PKR, Azmin Ali dalam satu mesyuarat parti itu beberapa tahun lalu.

Selain itu Gobalakrishnan turut mendedahkan Azmin adalah dalang kepada kekusutan yang melanda parti itu menjelang pemilihan 16 November depan.

Mengulas lanjut berhubung panggilan “Pariah” itu Kamalanathan yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor seterusnya berkata ada kemungkinan besar Azmin akan menafikan dakwaan tersebut seperti lazimnya.

“Jika Azmin menafikan perkara itu maka ini bermakna Gobala menipu dan kita semua ditipu.  Jadi saya minta kalau betul ini satu penipuan maka Azmin mesti bertindak dan saman Gobala.

“Namun saya percaya selaku salah seorang pemimpin tertinggi PKR, Gobala ada tanggungjawab untuk tidak membuat dakwaan membuta tuli”, ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau turut menambah PKR sememangnya parti yang sanggup melakukan apa saja untuk berkuasa termasuk menggadaikan maruah negara seperti mana yang dilakukan Ketua Umum mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk yang terbaru di Indonesia.

“Mereka juga sanggup memperbesarkan isu-isu perkauman untuk mendapat sokongan.  Parti ini tidak fikirkan masa depan yang penting mereka berkuasa dan ketua mereka jadi Perdana Menteri”, katanya.

No comments:

Post a Comment