Usaha Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) menggunakan Dewan Rakyat untuk menjatuhkan kredibiliti Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai saksi dalam sebuah kes mahkamah mencetuskan kekecohan dan dihalang oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Menurut Pandikar, tindakan Karpal itu boleh menjurus kepada penghinaan mahkamah dan beliau tidak akan sesekali membenarkan perkara itu berlaku.
Perkara itu berlaku apabila Karpal secara licik menggunakan peluang beliau ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 hari ini serta Peraturan Mesyuarat 36 (2) bagi menyentuh perbicaraan membabitkan pembelian tanah bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang melibatkan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik.
"Siapa dia ini Dr. Mahathir Mohamad? Bukan hakim kes itu yang tentukan adakah Liong Sik menipu? Bukan Dr. Mahathir?
"Kenapa pendakwaan dalam kes Liong Sik bersetuju untuk mengadakan satu penangguhan untuk membolehkan representasi dibuat kepada Peguam Negara atas keterangan Dr. Mahathir sahaja?" katanya.
Pada ketika itu, Pandikar meminta Karpal berhenti berbahas kerana ia bersikap subjudis dan melanggar peraturan mesyuarat.
Karpal mempertahankan kononnya isu itu berkepentingan awam namun Pandikar menolak dengan mengatakan Pengerusi DAP itu tidak harus menggunakan alasan tersebut atau alasan kebebasan bersuara dalam Dewan Rakyat untuk mengkritik perbicaraan kes mahkamah yang sedang berlangsung.
Tindakan Karpal itu seterusnya mengundang kemarahan beberapa Ahli Parlimen termasuk Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak), Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Datuk Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim-Bandar Baharu) dan N. Gobalakrishnan (Bebas-Padang Serai).
Kata Zulkifli, tindakan Karpal yang kononnya mahu menggunakan alasan Peraturan Mesyuarat 36 (2) bagi membincangkan isu itu membuktikan Karpal sudah nyanyuk dan berhasrat menyerang kredibiliti Dr. Mahathir.
"Jika itu tidak menjejaskan kes, apakah itu? Dia (Karpal) amat sedar perkara itu dan dia putar belit prosedur, berselindung di balik perundangan untuk serang saksi," katanya.
No comments:
Post a Comment