Datuk Seri Najib Razak menegaskan BN tidak membohongi rakyat, malah sentiasa ikhlas dan tidak mengkhianati amanah yang diberikan sejak mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum pada 1959. Perdana Menteri berkata, sifat memungkiri janji apabila berjanji, berbohong apabila bercakap dan tidak menunaikan amanah apabila diberikan kepercayaan tidak ada pada BN, sebaliknya setiap janji ditunaikan.
Berikutan itu, BN yakin akan terus mendapat kepercayaan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kerana tidak mempraktikkan tiga sifat munafik yang dimurkai Allah SWT.
Hadis Rasulullah SAW menyatakan bahawa ada tiga ciri orang munafik, iaitu apabila bercakap, dia bohong... apabila berjanji, dia memungkiri janji dan apabila diberikan amanah, dia tidak ikhlas memikul amanah itu.
Oleh itu, kita menggunakan slogan Janji Ditepati kerana apabila bercakap, kita bercakap benar, tidak memungkiri janji dan menunaikan amanah rakyat.
Saya beri jaminan, setiap ayat kita kepada rakyat, berdasarkan kepada kemampuan kita. Kalau kita berjanji tetapi tidak ditunaikan, Allah akan melaknati kita, rakyat hukum kita, katanya ketika merasmikan program Jelajah Janji Ditepati (JJD), peringkat Sabah di Pusat Sukan Kudat di sini, semalam.
Hadir sama, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan pemimpin Persekutuan serta negeri. Ia dihadiri kira-kira 50,000 pengunjung, terutama masyarakat dari daerah ini, Pulau Banggi, Pitas, Kota Marudu dan Kota Belud.
Sehubungan itu, Najib berkata, rakyat tidak harus meletakkan harapan kepada pembangkang untuk meneruskan agenda pembangunan negara kerana pembangkang hanya mampu berjanji tetapi tidak menunaikannya.
Saya faham tuan-tuan mengharapkan sesuatu daripada lawatan saya ini. Tuan-tuan tidak boleh meletakkan pengharapan kepada orang lain. Betul atau tidak? katanya sambil disambut laungan betul oleh hadirin.
Najib juga menegaskan, sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 2008, beliau sentiasa memberi penekanan kepada pemimpin BN supaya mendengar denyut nadi rakyat dan membuat penilaian aspirasi rakyat serta berusaha mengatasi masalah mereka.
Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, melalui keseluruhan peruntukan RM2.89 bilion kepada Sabah yang dibentangkan dalam Bajet 2013, negeri itu bakal menikmati pembangunan berterusan dalam pelbagai sektor.
No comments:
Post a Comment