Sunday, September 19, 2010
Lee Kuan Yew - Jangan ganggu kami !!!!!
MENTERI Mentor Singapura, Lee Kuan Yew tidak perlu pura-pura berasa sedih kononnya Singapura dipaksa keluar dari Malaysia. Janganlah membohongi sejarah. Soalnya, apakah negara itu akan menikmati kemerdekaan tanpa menyertai Malaysia pada 1963?
Kuan Yew tidak perlu mendabik dada kerana kejayaannya mentadbir negara yang sekangkang kera itu. Kalaulah Tunku Abdul Rahman menolak permintaan Singapura untuk keluar dari Malaysia, hingga sekarang beliau tidak akan menjamah jadi Perdana Menteri.
Jadi eloklah kalau beliau tidak campur tangan dengan urusan Malaysia. Kami rakyat Malaysia hidup aman dan sejahtera kecuali bagi mereka yang sepemikiran dengan Kuan Yew dan suka mengadu-dumba rakyat semata-mata kemarukkan kuasa.
Mereka ini seperti anda Kuan Yew yang suka mengapi-apikan perkauman dan sering menganggap golongan minoriti disisihkan. Beliau tidak pantas mempersoalkan hak istimewa orang Melayu seperti yang terkandung dalam Perlembagaan dan kontrak sosial.
Lihat sendiri apa yang berlaku di Singapura. Apakah mereka cukup adil kepada rakyat yang berbagai-bagai kaum itu?
Apakah Singapura sebuah negara demokratik yang memberi kebebasan bersuara seperti di Malaysia? Tanyalah media massa di sana. Apakah ada kebebasan akhbar seperti media massa di Malaysia?
Sebenarnya kita di Malaysia tidak berminat untuk bercakap yang negatif tentang Singapura kerana menghormatinya sebagai menghormati jiran. Tetapi sebaliknya Singapura tak habis-habis dengan rasa cemburu menuduh itu dan ini terhadap Malaysia.
Kita pun faham inilah sifat infiority complex' orang yang berasa menjadi hero tetapi tiada siapa mahu mengiktirafnya. Singapura mahu menjadi hero kepada Asia Tenggara. Soalnya, bolehkah Singapura hidup tanpa jirannya, terutama Malaysia dan Indonesia?
Kuan Yew jangan bermimpi mahu menjadikan Malaysia seperti Singapura yang tidak demokratik itu. Apa lagi dasar Malaysian Malaysia yang diwariskannya kepada DAP di Malaysia mahu disemarakkan kembali dengan membangkitkan isu perkauman.
Itulah yang mungkin melukakan hati Kuan Yew apabila berpisah dari Malaysia. Beliau sedang bermimpi untuk suatu ketika Singapura kembali bersatu bersama Malaysia sebagai suatu cara menghidupkan semboyan Malaysian Malaysiannya. Tidak mustahil DAP juga menunggu saat itu.
Jadi kalau saya meminta rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu supaya sedar akan hal ini tentu akan ada orang menuduh sebagai perkauman. Sedangkan perkauman bukan sekadar perbezaan antara kaum.
Melayu sesama Melayu juga wujud perkauman semata-mata kerana berbeza kabilah politik. Mereka yang ekstrem berusaha melakukan perpecahan dan menolak perpaduan sesama bangsa.
Mereka ini tidak peduli tentang masa depan bangsa negara. Kerana yang penting kepada mereka hanya mahukan kuasa. Mereka membutakan mata dan hati seolah-olah kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk rakyat dan negara.
Maka sudah sewajarnya sempena Hari Malaysia bagi rakyat yang tahu menghargai hati dan budi, waras pemikiran serta tahu menilai realiti dan kebenaran menolak mainan pelampau politik yang mahu merosakkan perpaduan rakyat dan keamanan negara.
Biarkan pelampau politik yang hanya mengutamakan kepentingan peribadi itu menjadi luncai yang terjun dengan labu-labunya. Apakah kita sanggup mengorbankan segala kenikmatan yang dikecapi selama lebih 50 tahun merdeka ini?
Tepuk dada cari jawapannya. Jangan biarkan para pendusta berjiwa rakus itu menjahanamkan masa depan agama, bangsa dan negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment