Saturday, December 28, 2013

Panas- Kontroversi Sepanjang 2013

DUA hari lagi, lembaran 2013 bakal melabuhkan tirainya. Secara keseluruhan, sepanjang tahun ini terlalu banyak kejutan dan kontroversi yang tercipta dalam industri seni hiburan tempatan.

Jika diperhatikan, tahun ini merupakan tahun yang penuh kontroversi berbanding kejayaan mahupun pencapaian artis tempatan.

Mana tidaknya, bukan sahaja kontroversi melibatkan masalah disiplin, malah ia turut disertakan dengan penyalahgunaan dadah, kahwin rahsia, berperang dengan ibu bapa, skandal, percintaan dan jenayah sabotaj filem yang pertama kali berlaku dalam sejarah perfileman.

Menyelak kontroversi demi kontroversi yang tercipta, ada beberapa kisah yang tidak disangka turut terjadi kepada golongan artis yang mempunyai kelompok peminat yang tinggi.

Skandal Adi Putra

Isu skandal pelakon kacak, Adi Putra bersama isteri orang mula menjadi perhatian apabila laporan polis yang dibuat suami wanita itu tersebar di Internet.

Dalam laporan itu, pelakon ini didakwa berkongsi gambar lucah ketika berada di Tanah Suci mengerjakan umrah.
Pun begitu, Adi dan isterinya tidak berdiam diri dan turut membuat laporan polis.

Setelah siasatan dibuat, kes tersebut diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) atau dalam erti kata lain, digugurkan.

Suami kepada wanita tersebut, Aminuddin Othman, 56, tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan berhasrat membuka semula kes pendakwaan terhadap pelakon itu.

Seminggu selepas sidang media dibuat, Aminuddin bertindak menceraikan isterinya dan meminta pelakon itu untuk bertanggungjawab. Dalam masa sama, kes pendakwaan itu akan diteruskan walaupun mereka sudah bercerai.

Sehingga ke hari ini, Adi lebih selesa mengunci mulut daripada mengeluarkan sebarang kenyataan selepas sidang media dibuat.


Cinta 'Touch n Go'

Selepas tiga hari berkenalan, pelakon, Johan As'ari mengambil keputusan untuk melamar pelakon seksi, Lana Nordin.

Sebelum ini, ramai yang beranggapan, Johan akan menjadikan penyanyi, Shila Amzah sebagai suri hidupnya memandangkan penyanyi itu sering dilihat bersamanya.

Pengakuan Johan juga turut meretakkan hubungan bersama Shila sehingga penyanyi itu bertindak untuk tidak lagi bersama Johan dan menyekat kesemua talian serta medium yang melibatkan pelakon itu.
Pun begitu, kehadiran Lana dalam hidup Johan hanyalah sementara apabila Johan mengakui hubungan mereka sudah putus kerana tidak mendapat restu keluarga.

Paling memedihkan, Johan turut mengakui bahawa dia dan Lana tidak pernah bercinta sebelum ini.


Nikah dua kali

Pengakuan pelakon, Aeril Zafrel mengenai pernikahan dua kali bersama Wawa Zainal, menimbulkan kontroversi hebat.
Menurut Aeril, mereka bernikah kali pertama pada 25 Februari 2012 mengikut syariat Islam, dan kali kedua pada 5 Februari lalu, apabila Wawa hamil pada Disember 2012.

Pernikahan pertama dikatakan tidak sah mengikut undang-undang Malaysia dan memerlukan akad nikah kedua bagi membolehkan anak mereka didaftarkan dengan ber’bin’kan Aeril.

Tampil mendedahkan perkara itu dalam sidang media, Wawa memberitahu tindakan itu dibuat kerana menghormati pendirian pemilik MIG, David Teo dan kontrak yang ditandatanganinya.


Asyraf Muslim berpoligami

Pada Mei lalu, pelakon Ashraf Muslim dikatakan hadir ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan kebenaran berkahwin dua.

Namun, Ashraf dinafikan khabar angin itu dan memberitahu dia memang hadir ke mahkamah berkenaan, namun atas urusan lain.

Dalam masa sama, Ashraf juga turut meletak jawatan sebagai perawat dan Ketua Operasi (COO) di pusat rawatan Islam milik bapa mertuanya, Pusat Rawatan Islam Al Hidayah.

Selain itu, Ashraf juga melepaskan jawatan sebagai Pengarah Yayasan Al Hidayah dan Maahad Tahfiz Al Hidayah dan berkuat kuasa pada 2 Jun lalu.

Setelah beberapa kali berdolak-dalih, akhirnya Ashraf mengaku telah bernikah secara rahsia kali kedua dengan bekas kru produksi televisyen, Wan Sakinah Ahmad Saburi di Thailand pada 7 Julai lalu.

Perkara ini diketahui setelah Ashraf hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 17 Julai 2013 dan Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan Ashraf menarik balik permohonan kebenaran poligami dengan membayar kos mahkamah RM8,000 kepada isteri pertama, Noor Dayana Lokman.

Pernikahan ini juga dilangsungkan tanpa pengetahuan Dayana dan ia terbongkar setelah isterinya itu menjumpai tiket penerbangan Ashraf ke sana.

Ramai yang beranggapan, keputusan Ashraf untuk berkahwin lain adalah kerana Dayana gagal memberikan zuriat sejak bernikah pada 30 Ogos 2011 di Mekah.

Malah, perkahwinan kedua ini nyata membahagiakan Ashraf apabila Sakinah kini disahkan hamil.


Erma vs Rabecca

Pelakon cantik, Rabecca Nur Al-Islam, bertindak menyaman pemilik syarikat produksi, Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd, Erma Fatima setelah dikatakan gagal membayar baki kontraknya.

Keputusan mahkamah yang lebih berpihak kepada Rabecca memerlukan Erma membayar baki kontrak pelakon berkenaan sebanyak RM11,200.

Pun begitu, kisah ini mencetuskan kontroversi apabila Erma membayar wang tuntutan itu dengan menggunakan duit syiling 5 sen.

Menganggap tindakan Erma tidak profesional, Rabecca menerusi peguamnya memulangkan semula wang itu dan menuntut Erma membayar dengan cara berhemah.

Kemudian, Erma kembali menyerahkan wang tuntutan dengan nilai sama menerusi duit kertas RM1.

Enggan memanjangkan lagi isu tersebut, Rabecca menerima wang itu dan mendermakan kesemuanya kepada mangsa banjir.


Afiq Muiz anak derhaka?

Ibu pelakon baharu, Afiq Muiz mendakwa anaknya menderhaka dan membuang keluarganya setelah berjaya.

Tidak berdiam diri, Afiq tampil ke hadapan dan menafikan tuduhan dilemparkan kepadanya menerusi sidang media bersama pelakon, Eina Azman.

Sejak itu, timbul pelbagai kisah tidak enak berhubung masalah keluarga pelakon ini dan turut melibatkan campur tangan pihak luar.

Pengakuan Afiq tidak membawa jalan penyelesaian apabila ramai yang mengecam tindakannya yang dilihat memburukkan ibu persis ‘si tanggang’.

Malah, Afiq juga turut diboikot media dan stesen televisyen yang menolak kemunculannya di kaca televisyen dalam tempoh terdekat itu.

Namun, Afiq mengakui, dia kerugian berpuluh ribu ringgit gara-gara tidak menerima sebarang tawaran lakonan sehinggakan Afiq bertindak memohon maaf kepada ibunya.

Ratu kontroversi?

Bermula dengan isu putus cinta bersama pelakon, Nas-T, setelah dua bulan bersama, aktres hebat, Nabila Huda, sering dipalitkan dengan pelbagai kontroversi.

Selain dikritik akibat video yang dimuat naik di laman, Keek, tanpa mengenakan pakaian, Nabila juga pernah dihentam teruk kerana pemakaiannya.
Bukan itu sahaja, Nabila atau lebih mesra disapa Abil ini turut diheret dalam masalah keluarga.

Bapanya, Amy Search mengakui, Abil tidak pulang beraya bersamanya ketika Aidilfitri lalu.
Namun, Abil lantas memberitahu, dia sebenarnya keliru untuk beraya bersama ibu atau bapanya dan memilih menyambut Aidilfitri di Singapura bersama rakan.

Selain itu, Abil turut terlibat dalam satu kemalangan bersama anak tunggalnya, Keisha Laila, apabila pacuan empat roda yang dipandu pelakon, Syazwan Zulkifli terbabas.

Tidak pernah sepi dari cinta, Abil mengakui menemui lelaki pilihannya, walaupun usia perpisahan bersama Nas-T masih baharu.

Menerusi laman Instagramnya, ramai yang dapat mengagak siapakah gerangan kekasihnya itu malah, ramai membuat andaian, cinta baharu Abil itu adalah milik DJ dari Singapura yang dikenali sebagai, Izwan.

Pun begitu, Abil dilihat lebih berahsia kerana tidak mahu kisah peribadinya dijadikan bahan sensasi lagi.

Shah Jazle ditangkap khalwat

Pada 16 Mei lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan menahan pelakon, Shaz Jaszle, 25, atas tuduhan khalwat di Kayangan Apartment, Taman Sri Subang, pada jam 3.50 pagi.

Penahanan tersebut dilakukan setelah menerima aduan daripada pihak awam berhubung kegiatan pelakon berkenaan bersama pasangannya, Farah Nurizzati Salleh, 21.

Sebelum ini, pelakon drama, Asmara ini bertunang dengan seorang doktor, Redzwani Puteri pada bulan Disember tahun lalu.

Berita penangkapan ini membuatkan keluarga Redzwani menentang perhubungan mereka dan memutuskan pertunangan itu.

Namun, baik Redzwani mahupun Shahz, masing-masing mengakui masih mencintai antara satu sama lain dan keputusan itu hanya dibuat pihak keluarga.

Pun begitu, Shahz mengaku tidak bersalah dan penafian itu direkodkan dalam perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling Jaya.

Mahkamah memutuskan kes perbicaraan seterusnya pada 21 Januari 2014.

Shila-Sharnaaz putus cinta

Setahun menyulam kasih, cinta pasangan selebriti, Sharnaaz Ahmad dan Shila Amzah, kecundang di tengah jalan pada Februari lalu.

Bukan kerana orang ketiga, namun campur tangan bapa Shila, ND Lala, akhirnya memaksa mereka memutuskan hubungan yang tidak direstui itu.

Kisah mereka menjadi perbualan ramai apabila Shila melarikan diri dari keluarganya sehingga ND Lala membuat laporan polis.

Cuba menyelamatkan cintanya, Shila menghantar luahan hati berbentuk emel ke media supaya dapat menjernihkan keadaan.

Namun akhirnya Sharnaaz mengambil langkah untuk berundur dan melupakan Shila.

Fizz Fairuz curang

Tujuh tahun bersama, pelakon, Fizz Fairuz bertindak mengikat tali pertunangan bersama wanita lain walaupun masih bergelar kekasih Almy Nadia.

Walaupun terkejut, Almy sudah menduga dari awal perubahan Fizz yang dikatakan semakin menjauhinya.

Pun begitu, pertunangan Fizz bersama gadis bernama, Azlyn Massiela Mohd Nazar, hanya bertahan seminggu sahaja apabila wanita itu dikatakan isteri orang.

Fizz beberapa kali memohon maaf di atas kesilapannya, sehingga Almy menerimanya kembali.

Malah, Fizz mendedahkan akan mengahwini Almy pada tahun hadapan.

KL Gangster 2 disabotaj!

Pertama kali berlaku dalam sejarah perfileman negara, filem terbaru arahan, Syamsul Yusof, KL Gangster 2, disabotaj dan tersebar dua bulan lebih awal dari tarikh tayangan.

Penyebaran ini berlaku setelah ada pihak yang tidak bertanggungjawab memuat naik filem aksi prekuel KL Gangster itu hingga membolehkan peminat menonton karya itu di internet.

Malah, ia menyaksikan ‘perompak seni’ tanpa segan silu menjual filem ini dalam bentuk video cakera padat (VCD) dengan harga serendah RM5.

Walaupun disabotaj lebih awal, namun filem ini berjaya meraih RM4.96 juta di sepanjang tempoh tayangan.

Cinta tiga segi

Bertahun menyulam cinta, pasangan selebriti, Puteri Sarah Liyana dan Ammar Alfian, nekad memutuskan hubungan.

Akui Puteri Sarah, perpisahan itu adalah jalan terbaik buat mereka kerana tiada lagi keserasian antara satu sama lain.

Pun begitu, pelakon dan model, Ammar Alfian tidak berpuas hati dengan keputusan itu apabila cinta Puteri Sarah mula beralih kepada pengarah muda, Syamsul Yusof.

Mendakwa bekas kekasihnya itu menjalinkan hubungan cinta bersama Syamsul, Ammar bertindak menyerang mereka menggunakan media sosial.

Walaupun dimaki dan dihentam teruk dengan kata-kata yang kurang bijak, namun Syamsul membalas kenyataan itu dengan cara yang berhemah dan menafikan hubungan istimewa bersama pelakon itu.

Ibu mertuaku...

Walaupun isu mengenai kelahiran bayi pertama mereka di Australia, masih menjadi tanda tanya, pelakon, Farid Kamil tampil mendedahkan kontroversi baharu.

Menerusi akaun Twitter rasmi miliknya, pelakon ini meluahkan perasaan berkaitan masalah dengan ibu mertua.

Bait-bait tulisannya itu berhubung rapat dengan kepincangan hubungan bersama ibu Diana Danielle. Malah, setibanya Farid bersama Diana dan anak di ibu kota, Farid meletakkan syarat kepada ibu mertua jika mahu menziarahi anak dan isterinya.

Pun begitu, baik Farid mahupun ibu Diana, mereka masing-masing enggan mendedahkan punca sebenar masalah mereka berdua.

Jawatan Zed Zaidi digugurkan

Baharu sahaja dilantik sebagai pucuk pimpinan Persatuan Seniman pada Mei tahun lalu, akhirnya jawatan Zed Zaidi, digugurkan setelah Mahkamah Tinggi memutuskan Mesyuarat Agung Seniman Kali ke-14 tidak sah.

Keputusan itu merupakan susulan saman yang difailkan pada 25 Januari lalu oleh plaintif Abu Bakar Omar, S.Sahlan, Linda Buang, Mior Ahmad Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani yang tidak berpuas hati dengan sistem pelaksanaan mesyuarat dan pemilihan calon.

Akur dengan keputusan itu, Zed Zaidi berkata, kesilapan yang dilakukan oleh pasukan pemimpin Seniman sebelum itu turut mengheret kepimpinan terbaharu dalam kemelut itu sehingga peranan mereka dibatalkan.

Walaupun Zed dilihat lebih lantang bersuara, namun pelbagai usaha telah dilakukan termasuk berhasrat mewujudkan kad diskaun 1Malaysia untuk golongan artis, insurans serta perumahan rakyat ketika bergelar Presiden.

Bermula 21 November lalu, pengurusan Seniman diambil alih oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), dalam masa dua bulan.

No comments:

Post a Comment