Tuesday, November 13, 2012

Polis soalsiasat penganjur forum berkaitan surat pembaca


Pihak polis hari ini menyoalsiasat penganjur bersama forum di mana Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar didakwa telah berkata orang Melayu perlu diberi kebebasan beragama, demikian menurut peguam hak asasi manusia, Fadiah Nadwa Fikri.

Ia berkaitan surat yang ditulis oleh pembaca Malaysiakini, Steve Oh berkaitan kenyataan Nurul itu, yang kini sedang disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan berkaitan dengan "menuturkan kata-kata... dengan niat sengaja untuk melukakan perasaan keagamaan seseorang".

Fadiah berkata pegawai penyiasat ASP Nadzri Harun menyoalsiasat anak guamnya, Ehsan Shahwahid, dari pukul 11 pagi hingga tengah hari mengenai forum tersebut, mengenai penganjur dan pesertanya, apa yang dikatakan semasa forum tersebut, dan mengapa ia diadakan di sebuah gereja.

Bagaimanapun, katanya, Ehsan, yang merupakan pegawai eksekutif NGO Islamic Renaissance Front (IRF) tidak menjawab soalan kerana maklumat mengenainya boleh diperolehi secara terbuka, bahawa tiada apa-apa jua yang telah dinafikan, dan tidak ada asas yang jelas untuk bertanyakan soalan berkenaan.

Apabila dinyatakan demikian, Fadiah berkata Nadzri menjawab bahawa pihaknya perlu tahu daripada peserta Melayu yang menghadiri forum itu... kerana Melayu adalah Islam dan Steve Oh telah menyinggung agama Islam. 

Fadiah berkata beliau kemudian menegaskan bahawa beliau telah menghadiri forum itu tetapi tidak berasa tersinggung, dan berikutan itu, Nadzri mahu merakam kenyataannya juga. Fadiah enggan, dengan menegaskan bahawa tujuannya adalah hanya untuk menemani Ehsan.

Apabila ditanya mengapa beliau mahukan kenyataan daripada orang Melayu dan apa salahnya mereka menghadiri forum tersebut, Fadiah mendakwa bahawa Nadzri menjawab, "Kerana orang Melayu adalah Islam, kita di sini untuk melindungi agama tersebut."

Fadiah mendakwa bahawa Nadzri mengulangi kenyataan yang serupa sepanjang soalsiasat tersebut, termasuk apabila diberitahu yang Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar telah berkata polis "hanya membantu" siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap kenyataan Nurul itu.

Beliau juga mendakwa bahawa Nadzri berkata bahawa polis "hanya menyiasat" dan tidak merancang untuk membuat dakwaan.

No comments:

Post a Comment