KUALA LUMPUR, 8 Mac- Pemuda UMNO Kelantan menyokong penuh hasrat Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk menemui Pengerusi DAP Karpal Singh bagi menjelaskan dasar kerajaan Kelantan berhubung pengharaman judi di Kelantan.
Namun dalam masa yang sama Ketua Pemudanya, Anuar Saffian menegaskan Pemuda UMNO Kelantan juga mahu menggesa Nik Aziz bukan sahaja menjelaskan dasar kerajaan Pas Kelantan sahaja, sebaliknya berbincang dengan DAP untuk mengharamkan segala pusat perjudian di negeri-negeri yang dikuasai oleh pakatan pembangkang ini.
“Persoalannya sekarang, kenapa Pas kini begitu berkompromi dengan DAP, satu parti yang selama ini menentang dasar-dasar perjuangan Islam Pas.
“Kita lihat sekarang, dasar-dasar Pas sejak akhir-akhir ini nampaknya lebih terbuka, dan tidak mampu lagi bertahan daripada ditekan sekutu mereka, DAP. Nampaknya Pas gagal mendakwah DAP sebaliknya DAP berjaya menunggang Pas”, katanya kepada UMNO-Online.
Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO Kelantan menyokong usaha ini, malah mencadangkan agar Nik Aziz bukan sahaja berbicara soal judi, malah menerangkan dasar-dasar Islam yang mereka perjuangan selama ini termasuk hukum hudud, yang telah ditolak mentah-mentah oleh DAP.
Selain itu kata beliau lagi Pemuda UMNO juga mahu Pas memberi perhatian serius terhadap kewujudan pusat-pusat perjudian haram ‘black market’ yang ada di kampung-kampung yang dikendalikan oleh orang-orang Melayu sendiri di negeri Kelantan.
“Kita tidak mahu pusat-pusat perjudian haram ini berlelusa di negeri Kelantan, kerana ia akan melibatkan orang Melayu dan orang Islam sendiri.
“Rakyat sekarang sedang menilai hubungan intim antara DAP dan Pas ini, yang nampaknya semakin erat hingga Pas sanggup mengadaikan prinsip perjuangan Islamnya, malah sanggup mengetepikan manifesto ‘Negara Islam’ dalam PRU ke-12 yang lalu semata-mata untuk menjaga hati DAP,” ujarnya lagi. -MediaUMNO
No comments:
Post a Comment