Monday, July 23, 2012

Fasa kedua 50 tahun kemerdekaan lebih mencabar



Seluruh Negara melancarkan kibaran jalur gemilang hari ini. Kibaran jalur gemilang itu adalah bersempena menyambut hari kemerdekaan yang akan disambut pada 31 Ogos setiap tahun yang bakal tiba.
Di Negeri Sembilan majlis ini disambut di Dataran Senawang, Seremban dengan pengisian acara meningkatkan patriotisme dan cintakan tanahair yang akan mencapai kemerdekaan kali ke-55.
Majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sembilan 2012 disempurnakan oleh Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan. Turut serta Raja Datin Seri Hjh Salbiah Tengku Nujumuddin, isteri Menteri Besar.
Acara simbolik memperingati negara mencapai kemerdekaan, sebanyak 55 buah badan sukarela, belia, NGO mengiringi panji-panji bendera kebanggaan negara di pentas utama sebelum diserahkan kepada jabatan kerajaan, agensi dan belia terpilih untuk dikibarkan di premis masing-masing.
Terdahulu, Dataran Senawang bergema dengan nyanyian lagu kebangsaan, Negaraku yang dinyanyikan secara beramai-ramai  dan Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menaikkan jalur gemilang mengiringi nyanyian tersebut.
Beliau di dalam ucapan menyeru agar rakyat di negeri ini menjadi rakyat yang menginsafi erti kemerdekaan yang bakal di sambut kali ke-55.
“Jadilah generasi yang mensyukuri usaha dan perjuangan nenek moyang yang berusaha mendapat kemerdekaan ini dahulu. Bukan mudah untuk sampai ke tahap ke 55 tahun, sedang kita berjaya membangunkan negara di dalam pelbagai bidang dan berjaya mengurus negara, ada dikalangan negara yang sama usia kemerdekaan dengan kita, mereka gagal membangunkan negara mereka sendiri.” ujarnya.
Katanya lagi, “Inilah keunikan yang terdapat pada rakyat negara ini, di mana kita sedang melalui fasa kedua iaitu mengekalkan kemerdekaan untuk 50 tahun akan datang dengan formula dan resepi utama iaitu memelihara perpaduan dan persefahaman antara kaum.”
Beliau turut menyeru agar rakyat di negeri ini mempunyai kesedaran untuk mengibarkan jalur gemilang di setiap tempat dan berusaha mendapatkan jalur gemilang yang mudah didapati dan apa yang penting semangat mengibarkan jalur gemilang.
“kerana itulah semangat nasionalisme dan patriotisme yang hadir secara semulajadi di dalam diri.” Katanya lagi.
Sementara perutusan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dibacakan oleh Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, Menteri Kerja Raya menyatakan, “tiada yang lebih berharga dengan memahami erti kemerdekaan, dan rakyat negara ini perlu menyemai kebanggaan kepada jalur gemilang yang terdapat ciri-ciri penting bagi mengekalkan kemerdekaan.”
“Jalur gemilang melambangkan kesetiaan, kesatuan, keberanian, kegigihan dan memupuk semangat patriotisme dan nasionalisme rakyat negara ini yang bergerak selari untuk mencapai wawasan yang sama.” katanya lagi.
Tambah beliau, “dalam melaksanakan pembinaan negara dan bangsa serta mengukuhkan semangat patriotisme dan nasionalisme, marilah kita sama-sama mengibarkan jalur gemilang yang menjadi lambang kemegahan negara ini di setiap premis, bangunan, gudang perniagaan, rumah dan kenderaan bagi menunjukkan kecintaan kepada negara.”
Menurut Perdana Menteri lagi, “Kibaran jalur gemilang adalah sebagai lambang mencapai kemerdekaan tanpa pertumpahan darah berdasarkan acuan dan prinsip sendiri.
Perlu menjaga kemerdekaan dengan semangat perpaduan dan bertolak ansur. Jangan kita biarkan negara dicengkam dengan fahaman dari penjajah. Jauhi anasir tidak sihat, ekstream, dan membelenggu akal fikiran kerana ianya tidak memberi manfaat mahupun keuntungan.”

No comments:

Post a Comment